Thursday, April 2, 2009

PENAMBAHAN PERKHIDMATAN PENGGUNA DI TERMINAL BUS EKSPRESS SUNGAI NIBONG

Ini adalah salah satu surat yang ditulis kepada Setiausaha Perbandaran MPPP berhubung masalah penambahbaikkan yang perlu dilakukan untuk kemudahan orang ramai. Untuk makluman, kami telah menulis dan menghantar 3 pucuk surat kepada jabatan yang berlainan bagi memaklumkan hal ini. Yang pertama kepada Sr Tan Cheng Chui, yang kedua kat Encik Patrick Khoo Poh Aik Jabatan Khidmat Pengurusan dan juga yang terakhir kat Tuan Haji Mohamad Ismail b. Ibrahim Jabatan Khidmat Kemasyarakatan

Sr. Tan Cheng Chui
Setiausaha Perbandaran,
Majlis Perbandaran Pulau Pinang,
Paras 4,
Jalan Penang,
Komtar, 10675
Pulau Pinang

Tuan,

PENAMBAHAN PERKHIDMATAN PENGGUNA DI TERMINAL BUS EKSPRESS SUNGAI NIBONG.

Merujuk perkara di atas, saya mewakili ahli kumpulan merupakan penulis blog public-transport-devotees.blogspot.com telah membuat kajian di beberapa kawasan yang terdapat terminal bas di Pulau Pinang dan salah satunya adalah Terminal Bas Ekspress Sungai Nibong.

2. Tidak dinafikan bahawa di Terminal Bas Ekspress Sungai Nibong terdapat banyak perkhidmatan yang telah disediakan seperti kedai makan, kedai runcit dan juga tandas awam. Akan tetapi, kami mendapati masih terdapat beberapa kekurangan dalam perkhidmatan yang disediakan itu. Contoh perkhidmatan penting yang perlu disediakan kepada pengguna adalah :

i) Perkhidmatan Mesin Pengeluaran Wang Tunai (ATM)
ii) Perkhidmatan Pertukaran Wang Asing.

3. Merujuk kepada perkara 2(i), perkhidmatan ini sangat diperlukan terutama kepada mereka yang merupakan pelancong yang datang dari dalam mahupun luar negeri. Ketiadaan mesin pengeluaran wang tunai ini menyukarkan kebanyakkan mereka yang memerlukan wang dengan kadar yang segera. Ini kerana, jika mereka ingin mengeluarkan wang tunai, mereka terpaksa pergi ke tempat yang lebih jauh.
Bagi perkara 2(ii), perkhidmatan ini adalah khusus untuk pelancong dari luar Negara yang melancong ke Pulau Pinang dan sudah tentu memerlukan mereka melakukan pertukaran wang asing mereka. Ketiadaan perkhidmatan ini menyukarkan mereka mengadakan urusan pembelian terutama pembelian tiket di terminal ini.

4. Selain itu, kami juga mendapati perkhidmatan lain yang tidak kurang pentingnya seperti tempat penyimpanan beg sementara perlu diwujudkan bagi memudahkan semua pihak terutama pelancong, untuk menyimpan beg mereka buat sementara waktu bagi memudahkan pergerakkan tanpa perlu mengusungnya ke sana-sini terutama sewaktu membeli tiket dan juga ke tandas.


5. Akhir sekali, kami berharap pihak tuan dapat mempertimbangkan dan menilai segala cadangan yang telah kami usulkan untuk kemudahan dan kesenangan semua pihak. Dengan adanya peningkatan mutu dalam perkhidmatan ini, secara tidak langsung dapat meningkatkan kadar pertambahan pelancong ke Pulau Pinang. Segala kerjasama dari pihak tuan amatlah kami hargai.


Sekian, Terima kasih.

No comments:

Post a Comment